Monday, June 15, 2009

Salam 5 : Pendidik atau Pengajar

Setelah 2 minggu jauh dari hingar bingar suara kanak-kanak, suasana itu akan kembali ku tempuhi hari ini.Rantaian keselesaan yang menambatku selama 2 minggu tidak kesekolah terasa amat menancap ke bumi. Aliran istighfar segera mengalir di tenggorokku, apabila menyedari bahawa amanah ini tidak boleh di pandang remeh. Kelas yang menjadi medan amalku, bukanlah sebuah padang datar yang merekah tanpa nilai. Disinilah akan kusemai benih - benih generasi masa hadapan. Disini jugalah akan aku baja dan siram benih - benih tersebut dengan siraman yang membentuk akhlak dan peribadi muslim yang utuh yang akhirnya akan menjadi generasi yang tinggi nilai ilmu dan amalnya. Dan yang paling penting, amal inilah yang akan ku bawa di hadapan Allah swt untuk merayu kepadaNya agar meletakkan aku di dalam syurgaNya.Amin ya rabbal a'lamin.
Aku punya kuasa memilih!Itulah lintasan hati sebelum aku menjejakkan kaki ke pintu gerbang sekolah. Ya!Aku boleh memilih untuk menjadi pengajar atau pendidik. Ternyata tugasan di sekolah bandar tidak banyak menyusahkan aku untuk menjadi pengajar yang baik. Rata - rata anak murid di bandar punyai kemampuan untuk menghadiri tuisyen di luar. Tanpa pengukuhan dan pengkayaan juga pasti mereka akan mengusai sesuatu perkara yang diajar. Tetapi bolehkah aku menjadi pendidik yang baik?
Mengajar...sekadar memberitahu, menyampaikan dan memahamkan. Mengajar tentang kepentingan membaca seolah - olah sekadar memindahkan betapa pentingnya membaca itu dari otak guru kepada otak pelajar dengan dibantu latihan - latihan pengukuhan yang akhirnya akan memahat ingatan peri pentingnya membaca di dalam otak pelajar - pelajar.
Mendidik? Mengajar dengan ilmunya, mendorong dengan ajakan dan suruhan, membimbing dengan contoh dan tauladan serta memantau dengan hubungan silaturrahim.
Moga Allah memberikan kekuatan kepada hambaNya untuk meniti atas jalan yang benar dan membimbingnya ke arah Syurga Allah.Amin...



No comments:

Post a Comment